Di balik diam

Aku sudah berjalan sejauh ini. Bukan kerana aku mengalah,
cuma kali ini aku rasa kau bukanlah orang yang terbaik buat diriku.

Usahamu seakan ingin menjadikan aku permaisuri hidupmu,
dari layananmu, janji-janji serta perancangan kita bersama.

Apakan daya, kita berdua hanyalah manusia biasa,
yang kadang diuji dengan noda,
kadang tergelincir dalam bisikan syaitan,
hingga kita alpa atas urusan apa kita mula.

Ya Tuhanku, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri.

Sesakit inikah cinta? Sedalam inikah kasih sayang?
Mengapa deritanya begitu tak terkata hingga aku rasakan.

Pada saat ini, aku telah tekad: tiada lagi harapan.
Cukuplah buku cerita antara kita telah aku tutup.
Aku berhenti berharap saat hatiku menjerit kesakitan.
Aku berhenti mencari di kala jiwaku meminta pengertian.
Mungkin inilah jawapan.

Jiwaku lelah, terlalu banyak mengalah.
Aku tidak mampu lagi bertahan dalam kepedihan.
Aku tidak mahu, andai masa depan kita masih bersama,
aku mengungkit segala luka di hati ini.
Cukuplah, biar aku ikhlaskan segalanya.

Andai diam itu jawapan darimu, aku redha.
Mungkin ini yang terbaik, walau sakit dan perit.
Moga Tuhan buangkan perasaan ini, hari demi hari.


Anis Hans


Popular posts from this blog

My thoughts

Lost yet still here